Teh di China & Jepun Purba

Rencana

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Ezlyna Shamsuddin
diterbitkan pada 10 July 2017
X
translations icon
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Perancis, Sepanyol

Teh mungkinlah minuman sajian yang paling popular di dunia. Pertama kali diminum oleh sami Cina untuk membantu meditasi serta individu yang menghargai khasiat perubatan, namun kemudiannya menjadi popular dan tersebar ke negara Asia Timur lain terutamanya Jepun. Upacara istimewa dalam penyediaan dan pengambilan teh berkembang seraya matlamat untuk menggalakkan penghargaan terhadap keindahan dan kemewahan hidup yang sederhana. Tambahan pula, peminum teh dapat mempamerkan citarasa dan kekayaan mereka secara tidak langsung, bukan sahaja dengan mengeluarkan barang keperluan rumah yang agak mahal, malah mengekhaskan porselin terbaik untuk minum teh.

Berserta buku-buku yang ditulis oleh pakar teh tentang cara untuk berkelakuan dan menghargai teh sepenuhnya di samping puisi yang memuji minuman ini, aktiviti minum teh berkembang menjadi satu bentuk seni. Oleh yang demikian, upacara minum teh menjadi cara mudah untuk melepaskan diri sejenak daripada hiruk-pikuk kehidupan harian. Hal ini masih menjadi fungsi minum teh bagi kebanyakan orang hari ini.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Japanese Tea Ceremony
Upacara Teh Jepun
mrhayata (CC BY-SA)

Teh dalam Mitologi

Dalam tradisi Cina dan Jepun, penemuan teh dikaitkan dengan pendeta India, Bodhidharma (juga dikenali sebagai Daruma), pengasas Zen iaitu, cabang agama Buddha. Bodhidharma ketika dalam perjalanan untuk menyebarkan ajaran barunya, mendirikan kuil Shaolin di selatan China (dikenali sebagai Shorinji dalam bahasa Jepun). Di sana, beliau bermeditasi sambil duduk menghadap dinding selama sembilan tahun. Pada akhir tempoh itu, kakinya telah mengerut dan pada saat-saat menjelang penyedaran, beliau tertidur. Berang kerana terlepas langkah terakhir ini, beliau merobek kelopak mata sendiri dan melemparkannya ke tanah. Di situlah tumbuhnya teh.

Minuman Kesihatan, Perangsang & Keperluan

Teh dikenali dengan pelbagai nama: cha dalam bahasa Cina dan Jepun, atau chai dalam bahasa Hindi dan Urdu. Nama dalam bahasa Inggeris mungkin berasal daripada sebutan minuman ini (the) di wilayah Fujian yang terletak di tenggara China. Minuman ini dibuat dengan menambahkan air panas pada daun muda, hujung daun dan pucuk daun tumbuhan Camellia sinensis yang berasal dari wilayah barat daya China.

Sisihkan Iklan
Advertisement

TEH DIKATAKAN MEmpunyai KHASIAT UBAT-ubatan TErmasuk MENYEMBUHKAN PENING AKIBAT mabuk.

Minuman ini pertama kali digunakan oleh sami Buddha sekitar kurun ke-2 SM untuk membantu mereka semasa bermeditasi dan menghilangkan rasa mengantuk. Teh juga dipercayai mempunyai khasiat ubat-ubatan termasuk menyembuhkan pening akibat mabuk. Menjelang zaman Dinasti Tang (618-907 M), aktiviti minum teh tersebar di luar biara dan menjadi minuman popular dalam kalangan golongan bangsawan yang mampu membeli minuman yang mahal ini. Teh menjadi unsur penting dalam ekonomi negara apabila ladang besar di bahagian tenggara mengusahakan tanaman teh dan melalui jualan teh dapat menyumbangkan pendapatan cukai yang berharga kepada kerajaan. Saudagar teh yang kini mengeksport ke negara Asia lain adalah antara ahli perniagaan terkaya di China.

Kesan pada Budaya

Trend minum teh juga memajukan seramik yang halus buatannya kerena lebih digemari untuk menyediakan, membancuh dan sebagai bekas minum serta bekas menyimpan daun teh yang elegan. Salah satu daripada pengeluar teko teh yang paling dihormati ialah Yixing di wilayah Jiangsu. Dalam budaya menayang kemewahan berlebihan dianggap kurang sopan, penggunaan cawan teh seramik yang sederhana tetapi mahal cukup untuk menunjukkan kemakmuran seseorang.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Chinese Tea Bowl & Stand
Cawan Teh & Alas Cina
The British Museum (Copyright)

Aktiviti minum teh menjadi begitu penting dalam budaya Cina sehingga muncul dalam seni dan sastera. Salah satu puisi terkenal oleh Lu Yu muncul dalam karyanya pada abad ke-8 M tentang bentuk dan konvensyen yang perlu digunakan ketika minum teh. Puisi ini ialah nota terima kasih selepas Yu menerima sebungkus teh yang baru dipetik sebagai hadiah.

Untuk menghargai teh, kututup pintu kayuku,

Agar orang tidak menggangu,

Dan kupakai topi kainku

Untuk membuat dan mengecap sendirian.

Cawan pertama membasahkan tekak dan bibir;

Cawan kedua mengusir kesunyian;

Cawan ketiga meluputkan kebosanan daripada ingatan,

Meningkatkan inspirasi daripada buku yang kubaca.

Cawan keempat mengeluarkan keringat berbintik-bintik,

Mencurahkan duka sepanjang hidupku.

Cawan kelima menyucikan setiap atom diriku.

Cawan keenam menjadikanku seakan-akan dewa dan dewi.

Cawan ketujuh yang terbaik mampu kuteguk -

Bayu bertiup daripada ketiakku.

(in Ebrey, 95)

Penyebaran

Bersama-sama budaya yang lain, amalan minum teh disebarkan dari China ke negara Asia Timur yang berdekatan seperti kerajaan Silla di Korea, namun tiada tempat yang lebih popular daripada Jepun sejak abad ke-8 M. Di Jepun, sami Buddha yang mula-mula minum teh dan amalan ini tidak begitu popular hinggalah sekitar tahun 1200 M. Memandangkan China menanam teh yang lebih baik daripada yang terdapat di Jepun, teh yang diimport bukanlah setakat daun teh yang telah dipotong malahan pokok teh.

Di Jepun, teh biasanya disediakan dengan menumbuk daun dan membuat bebola dengan amazura (pemanis daripada anggur) atau halia yang kemudiannya dibancuh dalam air panas. Lama-kelamaan, satu lagi sejak tahun 1200 M, sekolah teh khusus dibuka dan orang ramai mula menempah porselin terbaik untuk minum teh.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Upacara Minum Teh

Walaupun amalan dan upacara yang tersusun semasa menghidangkan teh berasal dari China, orang Jepun yang menjadikannya sinonim dengan budaya mereka. Upacara Teh Jepun dipanggil chanoyu, bermaksud 'air panas untuk teh', atau chado atau sado, bermaksud 'resam teh'. Majlis minum teh bermula sebagai urusan yang agak riuh-rendah apabila tetamu cuba meneka jenis teh yang mereka minum tetapi shogun abad ke-15 M, Ashikaga Yoshimasa, menghentikan semua ini dan menjadikan segala acara lebih tenang dan santun dengan menawarkan persekitaran sempurna bagi golongan pemerintah berbual secara berhati-hati tentang perkara sensitif.

Upacara ini melambangkan prinsip estetika Jepun wabi, iaitu nilai yang diberi sebagai penghargaan terhadap keindahan dan kesederhanaan dalam perkara harian. Penerapan wabi dalam upacara minum teh dikreditkan kepada pakar teh abad ke-16 M, Sen no Rikyu (1522-1591 M). Rikyu ialah pakar dalam upacara minum teh bagi panglima perang Oda Nobunaga dan Toyotomi Hideyoshi dan beliau turut mempromosikan penggunaan bunga yang disusun dengan teliti (ikebana) untuk mewujudkan suasana tenang yang cocok ketika minum teh. Panglima-panglima perang tidak selalu mendengar nasihat Rikyu. Hideyoshi terkenal dengan mengadakan pesta minum teh bagi 800 orang tetamu untuk meraikan kemenangannya di Kyushu pada 1587 M. Namun, Rikyu lebih berjaya dengan generasi berikutnya apabila upacara minum teh secara beransur-ansur menjadi lebih sopan dan intim.

Tea House at Koishikawa by Hokusai
Rumah Minum Teh oleh Hokusai di Koishikawa
Katsushika Hokusai (Public Domain)

Perkara pertama yang perlu dilakukan semasa minum teh ialah meletakkan diri di tempat yang betul iaitu chashitsu bagi orang Jepun atau bilik teh khusus, juga dikenali sebagai sukiya atau 'rumah yang tidak sempurna', merujuk kepada seni bina ringkas struktur asal dan bahan asas. Bumbung daripada buluh dan jerami, tiang penyangga tidak dikerjakan dan dinding diperbuat daripada tanah. Bangunan desa ini berasingan dari kediaman utama (lambang keperluan bangsawan untuk upacara ini kerana hanya mereka mampu memilikinya). Oleh itu, peminum teh serta-merta terpisah dari ruang keluarga dan dengan binaan tambahan ini, terpisah daripada kehidupan harian mereka. Tiga bilik teh asli masih wujud hari ini dan disenaraikan sebagai Khazanah Negara Jepun. Bilik-bilik ini boleh ditemui di Myoki-an Yamasaki, dalam kuil Shinto Minase-gu dan di biara Saiho-ji di Kyoto.

Sisihkan Iklan
Advertisement
PINTU BILIK TEH BIASANYA KECIL, BERTUJUAN UNTUK MENUNJUKKAN BAHAWA SEMUANYA BERSTATUS SAMA APABILA BERADA DI DALAM.

Bilik minum teh adalah kecil, biasanya hanya tiga meter persegi; Rikyu dikreditkan kerana mengecilkan saiz bilik yang lebih besar sebelum ini. Bilik ini mempunyai hiasan dan kemudahan minimum: tandas dan tsukubai yang terdiri daripada besen batu (chozu-bachi) di luar untuk mencuci tangan sebelum masuk di samping beberapa batu tidak teratur diletakkan berdekatan secara estetik. Ciri lain ialah batu dan lantera berdiri bebas, juga terletak di luar. Sebaik-baiknya, bilik minum teh harus dibina di taman kecil sendiri (cha-niwa) yang mempunyai laluan batu loncatan (tobi-ishi) menghala ke bilik minum teh dari rumah utama. Kehijauan yang diharapkan adalah malar hijau, bukannya bunga dan lumut atau rumput di bawah kaki, memberi ketenangan sebelum memasuki bilik untuk upacara minum teh.

Pintu bilik teh biasanya kecil, hanya sekitar 90 cm (3 kaki) tinggi, bertujuan untuk menunjukkan bahawa semua adalah sama status apabila berada di dalam. Sesetengah ahli sejarah percaya pintu menghalang pedang dibawa masuk ke bilik teh untuk menunjukkan bahawa pangkat dan pekerjaan harus ditinggalkan semasa minum teh. Tingkap dan skrin kertas memberi banyak cahaya pada bahagian dalam.

Movement of "Tea" & "Cha" Around the Globe
Pergerakan
Simeon Netchev (CC BY-NC-SA)

Perincian dan etika tentang cara teh diseduh dan dihidangkan menggunakan senduk khas atau gerak isyarat terkawal yang harus digunakan oleh seseorang bergantung pada sekolah upacara minum teh yang diikuti dan terdapat banyak sekolah tersebut. Air biasanya direbus dalam cerek besi di atas arang dan teh yang dibancuh adalah pekat, hijau dan pahit. Lazim juga dalam semua upacara, perlunya digunakan porselin terbaik, terutamanya cawan teh atau chawan yang digunakan untuk minum.

Sejarah Kemudian

Teh digunakan secara meluas dan menjadi perniagaan yang begitu besar pada abad ke-16 M sehingga akhirnya menarik minat pedagang Eropah, terutamanya Portugis dan Belanda. Teh diperkenalkan di Eropah pada 1607 M dan pada abad ke-19 M, minuman ini menjadi begitu popular di Eropah sehingga peminum boleh memilih teh dari China, India dan Ceylon (Sri Lanka moden). Teh dari dua negara terakhir lebih pekat dan digemari, terutamanya dalam kalangan British yang telah menggalakkan penanaman teh di India kolonial. Walaupun begitu, teh merangkumi 80% daripada jumlah eksport China ke Eropah pada awal abad ke-19 M.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Ezlyna Shamsuddin
Penterjemah bebas yang berasal dari Malaysia tetapi kini menetap di Jepun.

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2017, July 10). Teh di China & Jepun Purba [Tea in Ancient China & Japan]. (E. Shamsuddin, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/2-1093/teh-di-china--jepun-purba/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Teh di China & Jepun Purba." Diterjemahkan oleh Ezlyna Shamsuddin. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai July 10, 2017. https://www.worldhistory.org/trans/ms/2-1093/teh-di-china--jepun-purba/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Teh di China & Jepun Purba." Diterjemahkan oleh Ezlyna Shamsuddin. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 10 Jul 2017. Web. 27 Apr 2024.