Sepuluh Fakta Yang Perlu Diketahui Tentang Parsi Purba

Rencana

Joshua J. Mark
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 17 September 2020
X
translations icon
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis, Parsi

Untuk lebih seribu tahun lamanya, iaitu bermula dari sekitar 550 SM hingga 651 M, Tamadun Parsi Purba memancarkan pengaruh yang bukan kecil di rantau Timur Dekat. Elemen-elemen ketamadunannya bahkan masih hidup sehingga hari ini. Entiti politik Parsi pertama yang pernah berdiri dalam sejarah ialah Empayar Achaemenid (c. 550-330 SM). Ia kemudian tumbang di tangan Alexander Agung dan sesudah kemangkatannya, wajah ketamadunan Parsi diwakili oleh Empayar Seleucid (312-63 SM) yang dibangunkan oleh salah seorang panglima utama beliau yang bernama Seleucus I Nicator (memerintah 305-281 SM). Pengaruh Parsi terus bertahan di bawah payung Empayar Seleucid dan ia sekali lagi mendominasi seluruh rantau dengan munculnya Empayar Parthia (247 SM – 224 M) sebelum disusuli oleh Empayar Sassanid (224-651 M) yang mengakhiri zaman perdana Parsi di mana mereka ditakluk oleh Arab-Muslim.

Semenjak hari-hari awal Empayar Achaemenid hingga hari-hari terakhir Empayar Sassanid, tamadun Parsi memperkenalkan banyak konsep asas dalam teknologi dan idea yang pada hari ini sering dilupakan atau tidak diendahkan asal-usulnya. Antaranya termasuklah rekaan-rekaan seni, teknologi penyejukan dan penyaman udara, idea pemeliharaan anjing, budaya mencicipi cemilan secara harian, dan pelbagai lagi rutin kehidupan moden yang mempunyai asal-usul dari tamadun Parsi.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Persepolis Ruins
Runtuhan kota Persepolis
Blondinrikard Fröberg (CC BY)

Bagaimanapun dalam sudut maklumat, tamadun Parsi bertaut pada tradisi penyampaian secara lisan justeru kebanyakan sejarah mereka sehingga zaman Sassanid datang dari tamadun-tamadun lain. Sebahagian besar catatan yang memerihalkan kewujudan Empayar Achaemenid musnah di tangan Alexander sewaktu beliau membumihanguskan kota Persepolis pada tahun 330 SM. Sikap yang sama diamalkan oleh Empayar Parthia, justeru sejarah mereka rata-ratanya dipelihara oleh tamadun Yunani dan kemudian tamadun Rom. Walaupun penulis-penulis asing ini tidak selalu menyampaikan sejarah Parsi dengan tepat, catatan mereka memadai untuk memperkenalkan dan seterusnya membuktikan pengaruh tamadun Parsi di dunia. Lebih-lebih lagi apabila ia diiringi oleh dapatan arkeologi terkini dan serba-serbi sumber klasik dari Parsi yang terselamat.

Berikut adalah sepuluh pencapaian dan fakta berkaitan tamadun Parsi yang sering dipandang ringan.

Parsi Adalah Panggilan Berbahasa Yunani Buat Iran

Irani Purba kekal dikenali sebagai tanah Parsi di barat kerana pemisahan istilah ini membezakan antara sejarah silam dan sejarah moden rantau berkenaan.

Nama asal bagi Iran ialah Airyanam (sebagaimana yang disebut di dalam Avesta, kitab panutan penganut Zoroastrianisme). Iran juga adakalanya disebut sebagai Eran dan Irania yang membawa maksud "tanah bangsa Aryan", iaitu bangsa pertama yang menetap di rantau tersebut sekitar milenium ke-3 SM. Aryan bermaksud "mulia" atau "yang merdeka". Perkataan itu pada mulanya digunakan bagi merujuk satu kelas masyarakat dan bukanlah nama sebuah bangsa. Disebabkan terdapat satu suku Aryan yang menetap di wilayah Persis (Fars), maka Herodotus (hidup sekitar 484-425/413 SM) memanggil mereka sebagai orang Parsi. Pemanggilan sebegitu diteruskan oleh penulis-penulis Yunani dan Rom yang lain sehinggalah pada hari ini, Barat mengenali Irani Purba sebagai Parsi.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Keadaan sedemikian berlanjutan sehingga kurun ke-20 M, di mana pada tahun 1935 M, kerajaan Iran di bawah usulan Nazi menuntut supaya negara tersebut dikenali sebagai Iran dan bukan lagi Parsi. Cuma di Barat, penisbahan Iran Purba sebagai Parsi masih berkekalan kerana sejarawan-sejarawan mereka terus menggunakan istilah tersebut bagi membezakan antara sejarah silam dan sejarah moden rantau berkenaan.

Mencipta Peti Sejuk & Penyaman Udara Pertama

Tamadun Parsi diketahui mencipta sistem penyejukan pertama di dunia. Ia dikenali sebagai yakchal, iaitu sebuah struktur tanah liat bebentuk kubah yang digunakan untuk menyimpan ais dan memelihara kesejukan makanan. Tahun penciptaan yakchal selalunya dikaitkan dengan era pemerintahan Cyrus II (Cyrus Agung, memerintah 550-530 SM). Namun sebenarnya, teknologi tersebut sudah pun dibangunkan lebih awal sama ada oleh warga Parsi sendiri atau warga Elam yang sememangnya menyumbangkan banyak idea dan teknologi dalam tamadun Parsi. Inovasi penyamanan udara pula memang diketahui sebagai hasil ciptaan Parsi sepenuhnya, iaitu sekitar tahun 500 SM. Sistem pengudaraan ini hadir dalam bentuk menara angin yang dibina pada puncak sesebuah bangunan, di mana fungsi menara tersebut adalah menolak udara panas ke atas dan menarik udara sejuk ke bawah sekali gus mengekalkan suhu yang selesa di dalam bangunan, khususnya pada musim panas.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Yakhchal
Yakchal
reibai (CC BY)

Fatalisme Sebagai Hala Tuju Sastera

Satu lagi sumbangan Parsi yang sering dikesampingkan adalah hala tuju sastera yang bertunjangkan fatalisme, sebagaimana yang diungkapkan dalam pepatah Latin yang berbunyi, “Vitae summa brevis spem nos vetat incohare longam” (Kesementaraan hidup mengharamkan kita untuk berharapkan keabadian). Hala tuju ini dikembangkan oleh satu aliran Zoroastrianisme yang dikenali sebagai Zorvanisme. Dalam aliran tersebut, Zorvan diangkat sebagai Tuhan Yang Menguasai Masa. Memandangkan tiada siapa yang dapat mengundurmajukan masa untuk mengubah nasib manusia, maka sistem kepercayaan ini menjadikan fatalisme sebagai tunjang.

Hala tuju ini kemudian menghiasi Rubaiyat karangan seorang penyair Parsi bernama Omar Khayyam (hidup 1048-1131 M). Ia hakikatnya didahului oleh Ferdowsi (hidup sekitar 940-1020 M) di dalam Shahnameh, dan oleh penulis-penulis Yunani dan Rom, dan terus hidup sehingga hari ini. Hala tuju ini selalunya mendasari persoalan ubi sunt (“ke mana mereka pergi?”) dan pada era moden, ungkapan paling baik tentang persoalan tersebut tercantum di dalam puisi Ernest Dowson (hidup 1867-1900 M) yang berbunyi, “Ia tidak lama, hari-hari bersama arak dan bebunga mawar/Di sebalik kaburnya mimpi/Jalan kita muncul buat seketika, lalu sirna/Di dalam sebuah mimpi”.

Illuminated Manuscript of the Rubaiyat
Manuskrip Rubaiyat yang Berwarna-warni
Digital Collections at the University of Maryland (CC BY-NC-ND)

Sambutan Hari Lahir & Pencuci Mulut

Sambutan hari lahir pada mulanya hanya dikhususkan untuk meraikan kelahiran raja. Namun, masyarakat Parsi perlahan-lahan mengembangkan konsep tersebut sehingga ia kemudiannya disambut oleh seluruh lapisan masyarakat. Sambutan hari lahir biasanya melibatkan hidangan juadah yang istimewa, termasuklah kek berlilin yang dihidangkan pada akhir jamuan. Dalam tamadun Parsi, sememangnya menjadi kebiasaan untuk mereka mengambil manisan selepas habis makan malam. Cuma untuk kek, ia dikhususkan untuk sambutan hari lahir. Adat Parsi yang satu ini bagaimanapun dikritik oleh penulis-penulis Yunani. Namun bagi masyarakat Parsi, mereka menganggap warga Yunani sebagai bangsa gasar kerana tidak pandai menghargai nilai pencuci mulut sebagai satu elemen kebudayaan. Elemen ini mencerminkan betapa tamadun Parsi amat menekankan nilai menghargai kehidupan selagi ada peluang, dan juga menjadikan setiap hari sebagai hari keraian.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Hak-Hak Wanita

Kaum wanita Parsi memiliki hak keistimewaan yang lebih meluas berbanding tamadun-tamadun lain, selain tamadun Mesir.

Walaupun dakwaan yang mengatakan tamadun Parsi sebagai tamadun pertama di dunia yang mewartakan Deklarasi Hak-Hak Asasi Manusia (melalui prasasti pada Silinder Cyrus sudah pun disangkal, tiada siapa dapat menafikan bahawa wanita-wanita Parsi memiliki hak keistimewaan yang lebih meluas berbanding tamadun-tamadun lain, selain tamadun Mesir. Di Parsi, wanita-wanita istana mereka diberi layanan tertinggi manakala wanita-wanita berkasta rendah pula diberikan peluang untuk bekerja dan menerima bayaran yang sama seperti kaum lelaki. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam Teks-Teks Perbendaharaan dan Perkubuan dari zaman Darius I (Darius Agung, memerintah 522-486 SM). Kaum wanita mereka juga ada yang diberikan tugas menyelia pekerjaan kaum lelaki. Mereka yang memiliki kemahiran dan keupayaan mentadbir yang tinggi selalunya dijuluki sebagai Arashshara (Ketua Tertinggi). Wanita-wanita Parsi diberikan hak untuk memiliki tanah, berkecimpung dalam bidang ketenteraan (sebagai tentera biasa, pegawai, dan pemimpin tinggi), dan menjalankan perniagaan sendiri. Dalam sudut agama pula, terdapat satu dewi utama dalam agama Irani Awal yang dikenali sebagai Anahita. Selepas masyarakat Parsi menganut agama Zoroastrianisme, Anahita diserap sebagai salah satu sifat Ahura Mazda sekali gus mencerminkan betapa kedudukan kaum wanita diangkat tinggi dalam tamadun Parsi.

Monoteisme & Toleransi Beragama

Sebelum Zoroaster (hidup sekitar 1500-1000 SM) memperkenalkan ajaran monoteisme, masyarakat Parsi menganut agama Irani Awal yang bersifat politeisme, iaitu menyembah dewa-dewi yang diurus-tadbir oleh Ahura Mazda, tuhan tertinggi dalam kepercayaan mereka. Ajaran monoteisme yang dibawa oleh Zoroaster bersifat mandiri dari ajaran monoteisme yang dianuti oleh firaun Akhenaten di Mesir (1353-1336 SM). Ia dikembangkan dan disebarkan dengan giat di Parsi sampaikan ajaran tersebut bertahan sehingga ke hari ini. Kemunculan Zoroastrianisme membuatkan dewa-dewi lama Parsi disesuaikan mengikut kerangka monoteisme, hinggakan ia diterima sebagai jelmaan atau sifat Ahura Mazda. Walaupun masyarakat Parsi percaya terhadap ketulenan wahyu yang diterima daripada tuhan sembahan mereka, ia tidak mendorong mereka untuk menzalimi agama-agama lain. Bahkan, sepanjang era tiga empayar utama mereka, kesemua agama lain dihormati sebaik mungkin.

Faravahar, Yazd
Faravahar, Yazd
Bernard Gagnon (CC BY-SA)

Kehakikian Sebagai Nilai Tertinggi

Satu faktor yang menyumbang kepada toleransi beragama sedemikian adalah nilai kebudayaan Parsi dalam mencari dan menyampaikan kehakikian. Kehakikian dijunjung sebagai aspek nadi dalam tamadun Parsi sampaikan ia dijadikan suatu sumpah yang perlu dilafazkan ketika seseorang tentera melapor diri. Bahkan, perkataan hakiki (asa atau arta) sering diambil sebagai nama terutama dalam kalangan raja-raja Parsi. Misalnya, Artaxerxes. Penulis-penulis Yunani memuji mereka pada sudut ini, menyatakan bahawa masyarakat Parsi amat membenci pendusta dan mengeji mereka yang berhutang kerana penghutang selalunya berdusta ketika mengelak dari melunaskan hutangnya.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Dalam kepercayaan masyarakat Parsi, neraka dikenali sebagai Rumah Kedustaan dan ia mempunyai tiga tingkat. Tingkat paling bawah dan paling gelap dikhususkan buat pendosa paling tegar, yang mana keingkaran paling besar dalam kalangan penghuninya adalah berdusta. Atas keyakinan terhadap kebenaran agama mereka, masyarakat Parsi tidak memaksa orang lain untuk menganutinya. Hal ini kerana menurut mereka, lambat-laun, manusia akan memperakui seterusnya menganuti jua agama Zoroastrianisme. Kalau pun tidak berlaku sedemikian, mereka percaya bahawa roh-roh pendosa hanya dihukum di neraka untuk tempoh masa tertentu sahaja sebelum mereka semua dimasukkan ke dalam syurga.

Memperkenalkan Seragam & Pembahagian Unit Tentera

Pembahagian unit tentera merupakan satu inovasi dari tamadun Medes di bawah raja mereka, Cyaxares (memerintah 625-585 SM). Namun, kerangka tersebut kemudiannya diperbaharui oleh Cyrus Agung. Cyrus menyusun pasukan tenteranya mengikut sistem perpuluhan: 10 orang tentera = satu kompeni; 10 kompeni = satu batalion; 10 batalion = satu divisi; 10 divisi = 1 kor. Untuk membezakan setiap unit, mereka diberikan seragam khusus (kuning, biru, dan ungu). Isyarat-isyarat tertentu juga digubal sebagai kaedah komunikasi antara kor tentera. Sebagaimana yang telah dimaklumkan, kaum wanita turut diberi peluang untuk berkhidmat dalam organisasi ketenteraan. Bahkan, Parsi mempunyai beberapa orang panglima wanita tersohor seperti Artunis (hidup sekitar 540-500 SM), Pantea Arteshbod (panglima di bawah Cyrus Agung), dan Artemisia I (hidup sekitar 480 SM).

Ranks of Immortals
Barisan Tentera Immortal
dynamosquito (CC BY-SA)

Menakluk Mesir Dengan Memanfaatkan Kucing

Tamadun Parsi agak inovatif dalam merencana taktik perang. Pada tahun 525 SM misalnya, Cambyses II (memerintah 530-522 SM) menggempur Mesir. Menurut Herodotus, serangan tersebut adalah susulan daripada penghinaan firaun terhadap raja Parsi di samping bertujuan melanjutkan dasar perluasan yang dimulakan oleh Cyrus Agung. Dalam kempen tersebut, Cambyses membawa pasukannya ke kota Pelusium yang cukup ampuh. Menurut perhitungan Cambyses, beliau bakal menanggung kasualti yang besar andai tidak mengatur strategi khusus. Dengan berbekalkan pengetahuan tentang adat-budaya masyarakat Mesir, Cambyses berencana untuk memanfaatkan kucing yang sememangnya disucikan oleh warga Lembah Nil. Maka, beliau pun mengarahkan pasukan tenteranya untuk melukis rajah Dewi Bastet (yang digambarkan sebagai wanita berkepala kucing) pada perisai masing-masing. Beliau bahkan menghimpunkan segerombolan haiwan (termasuk kucing) di barisan hadapan pasukannya. Dek kerana enggan mengapa-apakan kucing yang menjadi simbol Bastet, tentera Mesir memilih untuk meletakkan senjata sekali gus rantau itu pun tunduk ke bawah pemerintahan Empayar Achaemenid.

Sistem Penghantaran Surat & Hospital

Sistem penghantaran surat terawal dikembangkan oleh tamadun Parsi di bawah pemerintahan Darius I. Beliau bertanggungjawab membina rangkaian jalan raya yang dilengkapi stesen-stesen rehat bagi memudahkan perjalanan, di samping memajukan sistem penghantaran antara-kota. Keefisienan sistem penghantaran Parsi ini bahkan dipuji oleh Herodotus dalam catatannya, “Tidak kira dalam apa jua keadaan – baik salji, hujan, terik panas, ataupun gelap – mereka tidak pernah gagal menunaikan tugas sepantas yang mungkin” (Histories, VIII.98). Pernyataan tersebut kemudian digubah sedikit lalu dijadikan sebagai motto tidak rasmi Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat sejak tahun 1914.

Tamadun Parsi juga diketahui membangunkan hospital terawal pada zaman Shapur I (240-270 M), di mana beliau turut menubuhkan sebuah pusat penyelidikan dan kebudayaan yang dikenali sebagai Akademi Gundeshapur. Pintu akademi tersebut dibuka buat pakar-pakar dari pelbagai bangsa, hinggakan pada zaman Kosrau I (memerintah 531-579 M), ia menjadi institusi penyelidikan perubatan pertama di dunia.

Kesimpulan

Selain apa yang sudah dikongsikan di atas, tamadun Parsi juga mempunyai banyak pencapaian lain. Antaranya adalah penciptaan sestar, iaitu sejenis alat muzik bertali yang mendahului gitar; sistem pengairan qanat; dan peminjaman kosakata serta penghasilan barang harian seperti perkataan paradise (diambil dari pairi-daeza yang merujuk kepada taman tertutup), sandal, permaidani, ambal Parsi, dan penamaan bunga tulip dan bunga semak ungu. Tamadun Parsi juga memasyhurkan teh sebagai minuman harian, penggunaan setanggi dalam upacara khusus, dan pemeliharaan serta latihan kuda dan anjing. Anjing amat dihargai oleh masyarakat Parsi hinggakan tempat seseorang di negeri abadi ditentukan – sebahagiannya – oleh baik-buruknya layanan seseorang terhadap anjing.

Ketika Empayar Sassanid tumbang di tangan Arab-Muslim pada tahun 651 M, kebudayaan mereka pada mulanya menerima tekanan dan pengharaman. Namun seiring peredaran zaman, budaya Parsi diasimilasikan dan disebarkan ke seluruh Timur Dekat dan rantau berhampiran. Pada kurun ke-18 M, ramai penyair dan ilmuwan Eropah menumpahkan minat terhadap budaya Parsi. Hari ini, dua orang penyair yang paling diraikan karyanya di dunia berasal dari Parsi, iaitu Rumi (hidup 1207-1273 M) dan Hafez Shiraz (hidup 1315-1390 M), di mana karya kedua-duanya terus menginspirasikan dan bahkan dijadikan sebagai pengenalan terhadap keluasan sumbangan tamadun Parsi kepada dunia.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Joshua J. Mark
Penulis bebas dan bekas Pensyarah Falsafah separuh-masa di Kolej Marist, New York. Joshua J. Mark menetap di Greece dan Jerman dan pernah mengembara ke Mesir. Beliau mengajar sejarah, penulisan, kesusasteraan, dan falsafah pada peringkat kolej.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Mark, J. J. (2020, September 17). Sepuluh Fakta Yang Perlu Diketahui Tentang Parsi Purba [Ten Ancient Persia Facts You Need to Know]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/2-1606/sepuluh-fakta-yang-perlu-diketahui-tentang-parsi-p/

Gaya Chicago

Mark, Joshua J.. "Sepuluh Fakta Yang Perlu Diketahui Tentang Parsi Purba." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai September 17, 2020. https://www.worldhistory.org/trans/ms/2-1606/sepuluh-fakta-yang-perlu-diketahui-tentang-parsi-p/.

Gaya MLA

Mark, Joshua J.. "Sepuluh Fakta Yang Perlu Diketahui Tentang Parsi Purba." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 17 Sep 2020. Web. 29 Apr 2024.